Isnin, 11 Jun 2018

GEGAR RAYA@RISDA NEGERI SARAWAK 2018 MENGGEGAR KUCHING


Program Gegar Raya@RISDA Negeri Sarawak yang telah diadakan pada 27 dan 28 Mei 2018 yang lalu bukan sahaja membantu usahawan RISDA meraih pendapatan lumayan, tetapi juga telah berjaya mempromosikan produk keluaran Usahawan RISDA kepada pengunjung yang hadir.

Pelbagai barangan keperluan Hari gawai yang disambut pada 1 dan 2 Jun setiap tahun serta keperluan Aidilfitri dijual pada program tersebut. Ramai pengunjung yang datang mengambil kesempatan untuk mendapatkan keperluan Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri.

Program yang diadakan di perkarangan Bangunan Majma’Mall, Kompleks Islam Kuching juga diserikan dengan Program pengagihan bubur lambuk dan juadah berbuka puasa yang telah disempurnakan oleh Pengarah RISDA Negeri Sarawak, En. Noor Azan Bin Mohd Noor.

Selain menjual dan mempromosikan produk usahawan RISDA, Program Gegar Raya@RISDA dimeriahkan lagi dengan pelbagai aktiviti untuk pengunjung. Antaranya pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan meniup belon untuk lelaki dan pertandingan menganyam ketupat untuk wanita selain cabutan tiket bertuah.

Secara keseluruhannya, rata-rata usahawan yang menyertai program dua hari tersebut berpuas hati dengan penganjuran yang julung kalinya diadakan di Negeri Sarawak ini. Mereka juga berharap agar program seperti ini dapat diadakan selalu bagi membantu mereka menjual dan mempromosikan produk keluaran mereka.