Selasa, 27 Februari 2018

BANTUAN RISDA, TINGKATKAN PENDAPATAN PEKEBUN KECIL



BANTUAN RISDA

Tingkatkan Pendapatan Pekebun Kecil



Pada 20 Februari 2018 yang lalu, telah diadakan Majlis Kasihi Pekebun RISDA Bahagian Samarahan Tahun 2018. Majlis ini telah disempurnakan oleh Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat Negeri Sarawak yang juga merangkap ADUN N.20 Tarat iaitu Y.B Datuk Roland Sagah Wee Inn.

Majlis yang diadakan di Dewan Kampung Rituh Labuan Serian ini turut dihadiri oleh Timbalan Residen Serian,Tuan Haji Mustapa Bin Haji Julaihi, Pengarah RISDA Negeri Sarawak, Tuan Haji Noor Azan Bin Mohd Noor, Pegawai RISDA Bahagian Samarahan, Puan Emyza Aisah Binti Atang dan Pengurus-pengurus Anak Syarikat Milikan RISDA serta kakitangan RISDA Bahagian Samarahan.

Majlis ini merupakan salah satu medium untuk menyebarkan maklumat dan tunjuk ajar cara penyelenggaraan tanaman Getah yang betul mengikut Amalan Pertanian Baik (GAP). Selain itu, ia juga menjadi medan untuk merapatkan silatturrahim antara pemimpin dan Pekebun Kecil.

Berucap pada Majlis itu, Y.B Datuk Roland Sagah berharap agar Pekebun Kecil memanfaatkan bantuan dan tunjuk ajar yang telah diberikan oleh Pihak RISDA supaya misi untuk memperolehi pendapatan sebanyak RM 4000.00 sebulan menjelang tahun 2020 tercapai.

Dianggarkan seramai 300 orang pekebun kecil dan penduduk kampung menghadiri dan memeriahkan majlis tersebut.