Program Gegar Raya@RISDA Negeri Sarawak yang telah
diadakan pada 27 dan 28 Mei 2018 yang lalu bukan sahaja membantu usahawan RISDA
meraih pendapatan lumayan, tetapi juga telah berjaya mempromosikan produk
keluaran Usahawan RISDA kepada pengunjung yang hadir.
Pelbagai barangan keperluan Hari gawai yang disambut
pada 1 dan 2 Jun setiap tahun serta keperluan Aidilfitri dijual pada program
tersebut. Ramai pengunjung yang datang mengambil kesempatan untuk mendapatkan
keperluan Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri.
Program yang diadakan di perkarangan Bangunan
Majma’Mall, Kompleks Islam Kuching juga diserikan dengan Program pengagihan
bubur lambuk dan juadah berbuka puasa yang telah disempurnakan oleh Pengarah
RISDA Negeri Sarawak, En. Noor Azan Bin Mohd Noor.
Selain menjual dan mempromosikan produk usahawan
RISDA, Program Gegar Raya@RISDA dimeriahkan lagi dengan pelbagai aktiviti untuk
pengunjung. Antaranya pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan
meniup belon untuk lelaki dan pertandingan menganyam ketupat untuk wanita
selain cabutan tiket bertuah.
Secara keseluruhannya, rata-rata usahawan yang
menyertai program dua hari tersebut berpuas hati dengan penganjuran yang julung
kalinya diadakan di Negeri Sarawak ini. Mereka juga berharap agar program
seperti ini dapat diadakan selalu bagi membantu mereka menjual dan
mempromosikan produk keluaran mereka.